BERITA SEMASA

Johnny Lim lakar sejarah anak Cina pertama dilantik Leftenan Jeneral ATM

KUALA LUMPUR – Datuk Johnny Lim Eng Seng melakar sejarah apabila menjadi anak berbangsa Cina pertama yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Upacara pemakaian pangkat beliau disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar di Wisma Pertahanan, di sini semalam.

Beliau merupakan Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN) berasal dari Melaka dan mula mengikuti latihan Pegawai Kadet sebagai Tauliah Jangka Tetap Ke-25 (TJT 25) di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom pada tahun 1986 dan seterusnya ditauliahkan ke Rejimen Renjer Diraja (RRD).

Selain itu, beliau merupakan graduan Kolej Komando dan Kakitangan Tentera Australia, selain turut memiliki Ijazah Sarjana daripada Universiti Canberra, Australia serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Johnny turut dikenali dengan kemahiran penguasaan bahasa Korea berdasarkan pengalaman mengikuti pengajian ketenteraan di Korea Selatan serta Sepanyol.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Jurulatih di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA); Panglima 31 Briged Infantri; Inspektor Jeneral Tentera Darat dan Ketua Staf Markas Pemerintahan Medan Barat.

ATM dalam satu kenyataan hari ini berkata, kenaikan pangkat itu menunjukkan peluang yang wujud dalam ATM adalah terbuka dan berdasarkan kecemerlangan semasa di dalam perkhidmatan.

“Ini juga diharapkan dapat menarik minat bangsa lain untuk turut menceburkan diri dalam kerjaya keramat ini.

“ATM seharusnya dilihat sebagai contoh terbaik konsep ‘Unity in Diversity’ dan menjadi platform utuh di dalam erti kata perpaduan yang sebenarnya,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button