BERITA SEMASA

Banjir gelombang kedua: 1,000 anggota ATM siap siaga bantu Kelantan, Terengganu

KOTA BHARU – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) siap sedia membantu penduduk Kelantan dan Terengganu sekiranya berlaku banjir gelombang kedua.

Menurut Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Mohamad Nizam Abdul Manap, lebih 1,000 anggota termasuk pegawai sudah bersiap siaga untuk digerakkan sekiranya diperlukan.

“Anggota saya masih lagi dalam keadaan siap sedia di kawasan tanggungjawab untuk membantu dan mengendalikan mangsa banjir jika berlaku gelombang kedua.

“Kekuatan kekal dengan lebih 1,000 anggota di Kelantan dan Terengganu. Begitu juga aset iaitu kenderaan dan bot untuk tampung keperluan membantu mangsa banjir juga kita siap sedia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Penyampaian Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), di sini hari ini.

Dalam majlis berkenaan, seramai 188 anggota ATM dari Kelantan dan Terengganu menerima sijil PERHEBAT.

Hadir sama, Pengarah Negeri PERHEBAT Kelantan, Mejar (B) Shahrulanuar Baharom.

Mohamad Nizam seterusnya berkata, walaupun ada anggota yang terjejas dengan banjir, namun tugasan dan tanggungjawab membantu mangsa banjir tetap berjalan.

“Seramai 23 anggota di Kelantan dan Terengganu terjejas banjir baru-baru ini, namun kita sudah membantu mereka dan pada masa yang sama kita juga membantu masyarakat yang terbabit dengan banjir.

“Anggota yang terjejas banjir berada di Tumpat, Pasir Mas dan Bachok di Kelantan, manakala di Terengganu membabitkan kawasan Kuala Nerus,” katanya.

Menurutnya, bagi pasca banjir, anggota juga membantu membersihkan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button