
Bakar karikatur PM: Ancam keselamatan awam, semai kebencian dalam kalangan masyarakat – PKR Putrajaya
PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Putrajaya menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Kamil Munim, yang mengecam tindakan membakar karikatur Perdana Menteri sebagai perbuatan biadab dan melampau.
Ketua Penerangan PKR Cabang Putrajaya, Mohd Hafiz Osman, berkata tindakan sedemikian tidak mencerminkan budaya politik yang matang serta mencemar nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini.
“Tindakan membakar karikatur pemimpin negara bukanlah satu bentuk protes yang bertamadun.
“Ia memperlihatkan kegagalan untuk berhujah secara intelektual dalam ruang demokrasi yang sihat.
“Malah, ia turut memberi kesan buruk kepada imej politik negara dan membuka ruang kepada budaya ekstrem dalam perbezaan pandangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, tindakan itu juga boleh mengancam keselamatan awam dan menyemai kebencian dalam kalangan rakyat.
“Perbuatan seperti ini berpotensi mencetuskan ketegangan serta insiden yang tidak diingini.
“PKR Cabang Putrajaya menolak sekeras-kerasnya pendekatan radikal yang boleh menggugat keharmonian masyarakat,” katanya lagi.
Tambahnya, PKR sentiasa menjunjung prinsip Malaysia Madani yang menekankan adab, fakta dan hujah dalam menyuarakan pandangan berbeza secara bertanggungjawab dan berperlembagaan.
Terdahulu, tular di media sosial video sekumpulan individu membakar lukisan karikatur menyerupai wajah Perdana Menteri sebagai tanda protes, tindakan yang mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin muda parti kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment