BERITA SEMASAMALAYSIA MADANIPMX

Malaysia kekal berprinsip hadapi ketegangan global

KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan pendirian untuk kekal berprinsip dalam dasar luar negara melalui pendekatan non-penselarasan aktif dalam berdepan ketegangan kuasa besar global, sambil terus memperkukuh peranan dalam ASEAN demi kestabilan dan kemakmuran serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia kini berdepan ketidaktentuan yang digerakkan oleh persaingan kuasa besar, tekanan geo-ekonomi dan cabaran keselamatan bukan tradisional, yang turut menuntut negara-negara Asia Tenggara untuk menilai semula keutamaan strategik masing-masing.

Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-38 (APR) hari ini.

“Kita berada di persimpangan penting. Adakah kita hanya mahu menjadi pemerhati ketika dunia berubah, atau menjadi ejen kepada perubahan itu?” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-38 (APR) di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia menggalas tanggungjawab besar untuk membentuk nilai dan pendekatan serantau yang lebih kukuh, bukan sekadar mengekalkan retorik.

Anwar turut menegaskan pentingnya meningkatkan integrasi serantau melalui transformasi digital, kebangkitan kecerdasan buatan (AI) serta peralihan tenaga. Usaha menambah baik perjanjian perdagangan sedia ada juga akan terus diberi keutamaan.

“Perdagangan bukan sekadar aktiviti ekonomi, ia antara tiang utama yang mengikat kestabilan rantau ini. Jika perdagangan runtuh, perpecahan akan berlaku,” ujarnya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap konflik berpanjangan di Myanmar, sambil menyeru ASEAN untuk memperkasa usaha damai yang diterajui rakyat negara itu sendiri. Anwar menyifatkan bencana alam baru-baru ini di Myanmar sebagai satu ujian moral untuk negara-negara serantau.

Mengenai situasi di Timur Tengah, Perdana Menteri mengutuk keras tindakan ketenteraan Israel di Gaza dan Iran yang dianggap melanggar undang-undang antarabangsa dan memburukkan lagi ketegangan global.

“Serangan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk yang terkepung di Gaza memerlukan lebih daripada sekadar kenyataan prihatin. Ia menuntut tindakan tegas antarabangsa untuk memastikan undang-undang kemanusiaan dihormati,” katanya.

Beliau turut mengkritik langkah tarif unilateral Amerika Syarikat yang dilihat mengancam kestabilan rantaian bekalan global. Namun begitu, Malaysia akan terus menjalin hubungan konstruktif dengan semua kuasa utama dunia termasuk AS, China, EU dan India.

“Dasar non-penselarasan aktif Malaysia bukanlah kedudukan neutral tanpa arah, tetapi satu strategi berprinsip untuk mengekalkan kebebasan dalam membuat keputusan demi kepentingan negara,” jelas beliau.

Anwar turut menyambut baik perluasan kerjasama antara negara-negara Global South melalui BRICS yang kini merangkumi negara dari Asia Tenggara, Asia Tengah, Timur Tengah dan Amerika Selatan.

“Ia bukan soal menjauh dari Barat, tetapi tentang mengukuhkan agensi dan autonomi kita untuk menangani cabaran bersama secara lebih bermakna,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Anwar menyeru agar semua pihak menolak ketegangan dan konfrontasi, sebaliknya menjunjung dialog, undang-undang dan semangat kerjasama dalam membentuk masa depan rantau Asia Pasifik yang lebih inklusif dan stabil.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button