BERITA SEMASA

PM arah bantuan segera keluarga asnaf di Port Dickson

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan bantuan segera disalurkan kepada sebuah keluarga asnaf di Kampung Baru Si Rusa, di sini, yang berdepan kesulitan hidup selepas ketua keluarganya diserang strok.

Anwar berkata, keluarga tersebut kini bergantung sepenuhnya kepada isteri pesakit, Faridah Abbas, selepas suaminya, Mohamad Ali Abdul Malek terlantar akibat serangan strok sejak tahun lalu.

“Saya dan Azizah amat tersentuh dengan ujian berat yang menimpa keluarga ini. Saya telah arahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk menyalurkan kemudahan yang diperlukan oleh saudari Faridah dan keluarganya bagi meneruskan kehidupan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.

Antara bentuk bantuan yang bakal disalurkan termasuk penyediaan kiosk perniagaan untuk membolehkan Faridah menjual kuih-muih dan pisang goreng sebagai sumber pendapatan.

Selain itu, kawasan hadapan rumah keluarga berkenaan juga akan diratakan bagi menjamin keselesaan mereka sekeluarga.

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban Faridah dalam menguruskan suami yang sakit serta anak-anak mereka. Kami turut mendoakan agar Allah permudahkan segala urusan keluarga ini,” kata Anwar.

Perdana Menteri sebelum itu menziarahi keluarga berkenaan bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempena Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI yang berlangsung di Negeri Sembilan.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membina jaringan ukhuwah antara pemimpin dan rakyat dalam suasana santai, inklusif serta berteraskan nilai kebersamaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button