BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pengerusi, Setiausaha persatuan kuil direman disyaki seleweng RM50,000

MELAKA – Seorang pengerusi dan setiausaha sebuah persatuan kuil di negeri ini direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang organisasi berjumlah RM50,000.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Uthman Abd Ghani di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, selepas permohonan dikemukakan oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 61 dan 75 tahun itu direman sehingga 23 Jun ini.

Terdahulu, mereka yang memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga dibawa menaiki kenderaan khas agensi tersebut ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada pukul 9 pagi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan pada pukul 11.45 pagi semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Melaka.

“Hasil siasatan awal mendapati wang sebanyak RM50,000 milik persatuan telah dikeluarkan tanpa sebarang kelulusan atau pembentangan dalam mesyuarat ahli jawatankuasa.

“Difahamkan wang tersebut digunakan untuk tujuan peribadi pada tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan perintah reman berkenaan, namun enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button