Konflik Iran-Israel: AS tuntut Iran menyerah, ancam bunuh Ayatollah Ali Khameinei
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengeluarkan kenyataan tegas terhadap Iran dengan mendesak untuk menyerah tanpa sebarang syarat.
Menerusi satu hantaran di platform Truth Social, Trump berkata, pihaknya mengetahui keberadaan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan menggambarkan sebagai sasaran yang mudah.
“Kami tahu di mana dia berada. Dia tidak sukar dijejaki. Tetapi buat masa ini, kami tidak akan membunuhnya,” katanya.
Trump memberi amaran keras kepada Iran agar tidak melakukan serangan terhadap kepentingan atau rakyat Amerika Syarikat.
“Kami tidak mahu ada peluru berpandu jatuh ke atas orang awam atau anggota tentera kami. Kesabaran kami hampir sampai ke penghujungnya,” tegasnya.
Kenyataan itu mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan penglibatan langsung AS dalam konflik Israel-Iran, meskipun Washington menafikan terlibat secara langsung.
Menurut sumber keselamatan, Trump bersama Majlis Keselamatan Negara mengadakan mesyuarat tertutup selama satu jam 20 minit bagi membincangkan perkembangan konflik tersebut.
Namun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan selepas pertemuan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Israel mengesahkan dua gelombang serangan udara dilancarkan ke atas kemudahan peluru berpandu dan dron di barat Iran.
Menurut kenyataan tentera Israel, serangan itu menyasarkan pusat kawalan utama di Tehran dan menyebabkan kematian Komander Kanan Tentera Iran, Jeneral Ali Shadmani.
“Shadmani maut empat hari selepas penggantinya, Jeneral Gholam Ali Rashid, turut terbunuh dalam serangan mengejut sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Letupan turut dilaporkan di ruang udara Tel Aviv dan Baitulmaqdis susulan serangan balas Iran, manakala siren serangan udara dibunyikan di Dimona lokasi sensitif yang menempatkan reaktor nuklear Israel.
Tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Sementara itu, agensi berita Fars melaporkan serangan siber dilancarkan ke atas sistem perbankan Iran, menjejaskan operasi Bank Sepah salah satu bank utama milik kerajaan.
Di Tehran, suasana semakin tegang apabila penduduk berpusu-pusu ke stesen minyak dan kedai runcit bagi mendapatkan bekalan asas. Sebilangan penduduk dilaporkan mula meninggalkan ibu negara berikutan kebimbangan terhadap konflik yang semakin meruncing.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam kenyataan berasingan mengesahkan kemudahan pengayaan uranium bawah tanah di Natanz mengalami kerosakan susulan serangan udara yang dilaporkan baru-baru ini.
Walaupun Israel tidak pernah mengesahkan memiliki senjata nuklear, Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) menganggarkan rejim itu memiliki sekurang-kurangnya 90 kepala peledak nuklear aktif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








