BERITA SEMASA

Car Free Day: Laluan sepanjang 4.2 km di Putrajaya akan ditutup setiap Ahad minggu kedua

PUTRAJAYA – Laluan sejauh 4.2 kilometer akan ditutup sepenuhnya bagi memberi ruang kepada aktiviti berbasikal, berjalan kaki dan larian dalam penganjuran Car Free Day akan datang di Putrajaya.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, penambahan laluan tersebut akan dijalankan secara berperingkat dengan kawalan keselamatan yang rapi bagi memastikan kelancaran dan keselamatan peserta.

Car Free Day: Laluan sepanjang 4.2 km di Putrajaya akan ditutup setiap Ahad minggu kedua
Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.

“Kita akan tutup keseluruhan laluan 4.2 kilometer ini untuk beri ruang kepada aktiviti sihat seperti berbasikal, larian dan berjalan kaki.

Ini adalah sebahagian usaha memperluas penganjuran Car Free Day,” katanya ketika ditemui selepas penganjuran Car Free Day di Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, program Car Free Day yang berlangsung setiap minggu kedua bulan kini diperkasakan menerusi kerjasama strategik termasuk dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Car Free Day: Laluan sepanjang 4.2 km di Putrajaya akan ditutup setiap Ahad minggu kedua
Car Free Day: Laluan sepanjang 4.2 km di Putrajaya akan ditutup setiap Ahad minggu kedua

“Car Free Day bukan sekadar aktiviti riadah, ia menjadi medan penyatuan masyarakat pelbagai latar belakang, menghidupkan semangat kejiranan dan kekitaan dalam suasana sihat serta ceria,” katanya lagi.

Fadlun berkata, kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk koperasi, kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan menjadikan program ini semakin inklusif dan memberi impak positif kepada warga bandar.

Car Free Day: Laluan sepanjang 4.2 km di Putrajaya akan ditutup setiap Ahad minggu kedua

“Insya-Allah, lebih banyak agensi akan turut serta dalam edisi akan datang.

“Kita mahu jadikan Car Free Day acara tetap yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.

Fadlun turut berkata, pihaknya melihat peningkatan penyertaan daripada golongan pelari rekreasi yang kini menjadikan Putrajaya sebagai lokasi pilihan mereka, termasuk di luar waktu rasmi program.

“Ini satu petanda yang baik. Putrajaya bukan sahaja bandar pentadbiran, tetapi juga bandar sihat yang menjadi contoh Malaysia MADANI,” katanya lagi.

Beliau juga menyeru lebih banyak penyertaan daripada kelab komuniti, NGO dan penganjur aktiviti kesihatan agar turut serta memeriahkan Car Free Day melalui pelbagai pengisian tambahan seperti senamrobik, pameran kesihatan, bazar hijau dan program pendidikan awam.

Program Car Free Day yang berlangsung hari ini menyaksikan kehadiran ratusan peserta termasuk golongan muda, keluarga dan pelancong tempatan yang mengambil peluang mengisi hujung minggu dengan aktiviti bermanfaat dalam suasana selamat dan harmoni.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button