BERITA SEMASA

Fadlun mulakan tugas rasmi selaku Datuk Bandar Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menyaksikan detik bersejarah apabila Datuk TPr Fadlun Mak Ujud memulakan tugas secara rasmi sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-16, menggantikan Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif.

Sebelum pelantikan ini, Datuk Fadlun pernah menjawat jawatan Presiden Perbadanan Putrajaya, pengalaman yang dijangka memberikan kekuatan dan kepakaran dalam mengemudi pentadbiran ibu kota.

Majlis sambutan yang berlangsung di Menara DBKL 1 diadakan penuh istiadat, dimulakan dengan ketibaan beliau yang menerima tabik hormat daripada Kumpulan Kawalan Kehormatan Jabatan Penguatkuasaan DBKL.

Turut menyerikan majlis ialah persembahan tarian selamat datang oleh artis budaya DBKL sebagai tanda sokongan warga kerja terhadap kepimpinan baharu itu.

Dalam simbolik permulaan tugas, Datuk TPr Fadlun melakukan ‘punch in’ pertama sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-16, sekali gus menandakan bermulanya tanggungjawab memimpin pentadbiran bandar raya.

Beliau kemudiannya dibawa ke Tingkat 29 Menara DBKL 1 untuk mendengar taklimat mengenai fungsi serta hala tuju DBKL dalam meneruskan agenda pembangunan Kuala Lumpur sebagai bandar raya mampan dan makmur.

Pelantikan beliau dijangka memperkukuh usaha kerajaan dalam memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya berdaya huni selaras aspirasi Malaysia MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button