Tekanan belajar disyaki punca pelajar tikam ibu, abang hingga maut
MELAKA – Seorang pelajar Tingkatan Lima ditahan selepas disyaki membunuh ibu dan abang kandungnya serta mencederakan adik bongsunya dalam satu kejadian tragis di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa wanita berusia 51 tahun yang juga seorang guru, serta anak lelakinya berusia 21 tahun ditemui maut dengan kesan tikaman di ruang tamu rumah.
Seorang lagi mangsa, adik bongsu suspek berusia 13 tahun, pula ditemukan berlumuran darah di garaj rumah berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan yang dialami suspek kerana sering dipaksa belajar untuk mencapai keputusan cemerlang.
“Suspek yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dipercayai mengalami tekanan dan dendam kerana sering dimarahi oleh ibunya yang juga seorang guru.
“Maklumat daripada jiran juga mengesahkan sering berlaku pertengkaran di kediaman tersebut,” memetik laporan Awani.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejadian bermula apabila suspek dipercayai menyerang ibunya di dalam bilik sebelum berlaku pergelutan apabila abang mangsa cuba campur tangan.
“Akibat pergelutan itu, kedua-dua mangsa maut akibat ditikam, suspek kemudian mengarahkan adik bongsunya keluar dari rumah, namun mangsa enggan menyebabkan dia turut diserang,” katanya.
Adik mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri dalam keadaan cedera parah dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.
Dalam cubaan untuk melupuskan bukti, suspek turut dilaporkan membuang pakaian yang dipakai ke kawasan semak berhampiran.
Polis turut menemui sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu di dalam beg sekolah suspek.
“Suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol. Dia akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh esok untuk permohonan reman,” tambahnya.
Mayat dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















