BERITA SEMASAMALAYSIA MADANI

Rakyat Perak dijemput meriahkan Program MADANI Rakyat 2025

LUMUT – Bayu laut dari Lumut Waterfront bakal menyambut kedatangan ribuan pengunjung sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun 2025.

Program tersebut dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kerajaan Negeri Perak.

Menampilkan pelbagai inisiatif kerajaan secara terus kepada rakyat, PMR 2025 Perak dijangka menjadi antara platform penting menyemarakkan aspirasi Malaysia MADANI, yang mengutamakan kesejahteraan dan pembangunan insan.

Pemandangan dari udara menunjukkan lokasi Lumut Waterfront yang bakal dimeriahkan dengan Program MADANI Rakyat 2025.

“Penganjuran PMR 2025 bukan sekadar perhimpunan bersifat pameran, tetapi satu bentuk interaksi dua hala yang memberi ruang kepada rakyat untuk berurusan secara langsung dengan agensi kerajaan.

“PMR 2025 Peringkat Negeri Perak adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk mendekati rakyat melalui pendekatan yang lebih mesra, inklusif dan berimpak tinggi.

“Ia bukan sekadar untuk memberi maklumat, tetapi membuka ruang perkhidmatan secara langsung yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat,” menurut PACU dalam satu kenyataan.

Sepanjang tiga hari itu, pelbagai segmen aktiviti akan dijalankan, antaranya:

  • Perkhidmatan touchpoint oleh pelbagai kementerian dan jabatan negeri;
  • Pemeriksaan kesihatan, khidmat kaunseling dan ceramah kesedaran;
  • Pameran kos sara hidup serta inisiatif menangani isu-isu rakyat;
  • Karnival kerjaya dengan tawaran pekerjaan dan latihan;
  • Program pembangunan belia dan jaringan keusahawanan;
  • Pameran pendidikan tinggi, sejajar dengan tema tahun ini ‘Pendidikan Tinggi Pemacu Negara MADANI’.

Antara tarikan utama ialah pengurangan kadar kompaun saman PDRM sehingga 50 peratus bagi saman terpilih, yang boleh dilakukan di kaunter PDRM sepanjang program berlangsung.

Orang ramai berpeluang menikmati diskaun kompaun saman PDRM sehingga 50 peratus pada program ini. – Gambar hiasan

Peluang ini dijangka menarik perhatian orang ramai yang ingin menyelesaikan saman tertunggak secara lebih jimat dan teratur.

Tidak ketinggalan, pelbagai aktiviti hiburan ringan seperti persembahan pentas, pameran interaktif dan gerai jualan usahawan tempatan turut disediakan, menjadikan program ini mesra keluarga dan sesuai untuk semua peringkat umur.

Dengan pendekatan yang menyeluruh meliputi aspek pendidikan, pekerjaan, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan sosial, PMR 2025 Peringkat Negeri Perak bakal menjadi medan terbaik untuk rakyat melihat sendiri usaha kerajaan dalam mengangkat nilai MADANI sebagai dasar utama pembangunan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button