BERITA SEMASA

Nahas libatkan penuntut: UPSI akan berikan bantuan, sokongan kepada waris mangsa

GERIK – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengesahkan menerima laporan awal berhubung satu kemalangan jalan raya melibatkan pelajar institusi itu dalam sebuah bas persiaran di kawasan Gerik, Perak awal pagi ini.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, pihak universiti kini sedang mengambil tindakan susulan berhubung kejadian berkenaan dan menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan para pelajar.

“Pihak universiti memohon seluruh warga UPSI dan masyarakat umum untuk bersama-sama mendoakan agar urusan ini dipermudahkan.

“UPSI sentiasa prihatin kebajikan pelajar dan akan memberi bantuan serta sokongan kepada waris,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, maklumat awal menyatakan seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut manakala tujuh lagi cedera parah apabila bas yang membawa mereka terbalik di Jalan Jeli-Grik berhampiran Tasik Banding.

Daripada jumlah itu, 13 mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Gerik.

Kemalangan yang dipercayai berlaku sekitar jam 1 pagi itu turut melibatkan sebuah kereta.

Bas berkenaan difahamkan membawa 42 pelajar yang pulang dari Terengganu dan Kelantan selepas menyambut Aidiladha, untuk kembali ke kampus UPSI bagi memulakan sesi pengajian.

Waris dan pihak berkaitan boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui Hotline JHEPA: 019-571 9977.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button