Ng Tze Yong bakal jalani pembedahan lutut akibat kecederaan ACL
KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, bakal menjalani pembedahan lutut selepas imbasan MRI mengesahkan beliau mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) ketika aksi pusingan pertama PERODUA Malaysia Masters 2025 minggu lalu.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Tze Yong, 25, terpaksa menarik diri daripada perlawanan menentang pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long, selepas mengadu kesakitan pada lututnya.
“Hasil pemeriksaan lanjut dan imbasan MRI menunjukkan koyakan pada ACL. Tze Yong kini sedang menjalani sesi prapemulihan (prehab) untuk menguatkan otot di sekitar lutut sebelum menjalani pembedahan yang telah dijadualkan,” kata Pengarah Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen.
Menurut Jonassen, Tze Yong tetap bersemangat dan fokus terhadap proses pemulihannya walaupun berdepan detik sukar dalam kariernya.
“Ini merupakan satu saat mencabar buat Tze Yong, tetapi beliau seorang yang kuat dari segi mental. Pasukan perubatan dan kejurulatihan BAM akan terus memberi sokongan penuh kepada beliau sepanjang proses ini, di dalam dan di luar gelanggang,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Tze Yong meluahkan rasa kecewa, namun tetap positif dan bersedia untuk kembali lebih kuat setelah selesai proses pemulihan.
“Memang sukar untuk terima, terutama selepas segala usaha dan latihan yang telah saya lalui. Tapi saya percaya ini hanyalah satu cabaran yang perlu saya hadapi. Saya akan ikut pelan prehab dengan sebaiknya dan tumpu sepenuhnya kepada proses pemulihan,” katanya.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada BAM, Institut Sukan Negara (ISN), pasukan perubatan, barisan jurulatih serta semua peminat yang terus memberikan sokongan. Sokongan anda semua amat bermakna buat saya,” tambahnya.
Sementara itu, BAM turut menzahirkan harapan agar Tze Yong berjaya menjalani pembedahan dan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.
Baca juga : Kecederaan buku lali akibatkan Zii Jia tersingkir di World Tour Finals 2024
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








