Tan Boon Heong cari pelajar tahfiz juara badminton MSSM untuk beri penghargaan
KUALA LUMPUR – Bekas jaguh badminton negara, Tan Boon Heong tampil menzahirkan penghargaan terhadap kejayaan dua pelajar sekolah agama yang muncul juara acara Beregu Lelaki Bawah 15 tahun pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), selain menyatakan hasrat untuk mencari mereka bagi memberikan hadiah dan sokongan.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata pencapaian dua remaja berkenaan membuktikan kejayaan dalam arena sukan tidak ditentukan oleh latar belakang sekolah semata-mata.

“Ada orang fikir pelajar sekolah agama hanya fokus belajar dan agama, jadi mereka tak mampu bersaing dalam sukan.
“Tetapi hari ini, dua anak muda ini membuktikan sesuatu. Usaha tidak mengenal latar belakang. Impian tidak mengenal jenis sekolah. Dan kejuaraan bukan milik golongan tertentu sahaja.
“Mereka datang dari sekolah agama, tetapi berjaya muncul Juara Beregu Lelaki Bawah 15 MSSM,” tulisnya.
Tambahnya, kejayaan pasangan tersebut telah membuktikan bahawa usaha, disiplin serta semangat juang lebih penting dalam membentuk kejayaan.
“Mungkin mereka tidak mempunyai kemudahan terbaik dan mungkin pada awalnya tiada siapa memandang mereka.
“Tetapi mereka ada disiplin, semangat dan hati yang tidak mudah mengalah,” katanya lagi.
Boon Heong berkata, beliau melihat kejayaan itu bukan sekadar kemenangan di gelanggang, sebaliknya sebagai gambaran masa depan badminton negara.
“Ramai anak muda sebenarnya ada bakat, cuma mereka perlukan peluang dan seseorang yang percaya kepada mereka,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai yang mengenali dua pelajar terbabit supaya menghubunginya bagi membolehkan beliau menyampaikan penghargaan dan hadiah sebagai tanda motivasi.
“Tahniah adik-adik. Anda sudah membuktikan bahawa pelajar sekolah agama juga mampu jadi juara.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasangan berkenaan kerana membuktikan pelajar sekolah agama juga mampu mencipta kejayaan dan bergelar juara.
Terdahulu, media melaporkan kejayaan Putra Assolihin dan Dani Syafi dari Maahad Integrasi Madad yang mewakili MSS Kedah, muncul juara pada kejohanan tersebut semalam.
Ia membuktikan pelajar tahfiz juga mampu berdiri sama tinggi tatkala arena sukan badminton peringkat sekolah didominasi rata-rata pemain dari sekolah jenis harian dan berasrama penuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















