
Kecederaan buku lali akibatkan Zii Jia tersingkir di World Tour Finals 2024
KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia terpaksa melupakan baki saingan BWF World Tour Finals 2024 selepas menarik diri daripada perlawanan terakhir peringkat kumpulan akibat kecederaan buku lali.
Berdepan Li Shi Feng dari China, Zii Jia yang kini menduduki ranking ke-8 dunia, sudah mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, namun nasib tidak menyebelahi beliau.
Dua kemenangan awal yang diperoleh sebelum ini menjadi tidak bermakna kerana peraturan BWF menetapkan bahawa semua mata yang dikumpul oleh pemain yang menarik diri daripada saingan akan dibatalkan.
Pada awal permainan, Zii Jia menampilkan persembahan yang cukup menyakinkan apabila menang 22-20 ke atas wakil tuan rumah itu pada set pertama.
Malang tidak berbau, Zii Jia secara tidak diduga mengalami kecederaan pada buku lali kanannya ketika beliau sedang mendahului Shi Feng dengan kelebihan yang selesa.
Pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu cuba untuk meneruskan permainan tetapi ketika mata 15-11, Zii Jia kelihatan tidak berupaya dan memilih untuk menarik diri daripada perlawanan tersebut.
Tidak mampu untuk berjalan, bekas juara All England 2021 itu terpaksa dibawa keluar daripada gelanggang dengan bantuan kerusi roda.
Susulan tidak menghabiskan permainan, Zii Jia secara rasminya tersingkir daripada persaingan kerana tidak menamatkan permainan.
Ini bermakna Li Shi Feng mara ke separuh akhir bagi mengiringi juara kumpulan iaitu Anders Antonsen dari Denmark.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |