Penyelam skuba Malaysia lemas di Aceh
HULU SELANGOR – Jenazah rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat lemas ketika menjalani aktiviti selam skuba di perairan Iboih, Kota Sabang, Aceh, Indonesia, selamat dikebumikan tengah malam tadi.
Allahyarham Haikal Rafie Halim, 33, disemadikan di Raudah Assakinah, Tanah Perkuburan Islam Kariah Rasa, pada jam 12 tengah malam dalam suasana pilu dihadiri ahli keluarga, saudara-mara serta sahabat handai.
Sebelum itu, jenazah tiba di Masjid Kampung Melayu Rasa di sini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, sebelum disolatkan oleh ahli keluarga dan penduduk setempat.
Difahamkan, insiden berlaku sekitar jam 9.30 pagi kelmarin waktu tempatan, ketika Allahyarham menjalani aktiviti selam skuba bersama dua rakan yang juga warganegara Malaysia dan seorang jurulatih selam di lokasi kejadian.
Menurut laporan portal Berita Rakyat Aceh, mangsa dipercayai tidak sedarkan diri selepas timbul dipermukaan selepas melakukan selaman pada kedalaman 30 meter.
Mangsa dipercayai timbul secara mengejut selepas berdepan arus bawah laut selepas diarahkan jurulatih selam.
Usaha menyelamat dilakukan serta-merta, termasuk membawa mangsa menggunakan bot laju ke Pantai Iboih.
Namun begitu, mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















