ASEAN perlu fokus tiga teras ekonomi strategik hadapi cabaran global
KUALA LUMPUR – Tiga teras ekonomi strategik perlu diberi keutamaan oleh ASEAN bagi memastikan rantau ini kekal berdaya saing dan berdaya tahan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Pensyarah Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, tumpuan itu meliputi integrasi perdagangan serantau, transformasi hijau dan digital, serta kepelbagaian ekonomi strategik.

“Pelaksanaan reformasi ekonomi secara menyeluruh perlu diperkukuh agar hala tuju ASEAN kekal relevan dalam landskap global yang kian mencabar,” katanya kepada Malaysia Tribune.
1. Percepat Integrasi Perdagangan Intra-ASEAN
Menurut Dr. Muhammad Irwan, ASEAN mesti mempercepat pelaksanaan Pasaran Tunggal ASEAN dengan menurunkan halangan bukan tarif dan menyeragamkan prosedur kastam serta logistik serantau.
“Langkah seperti pengukuhan ASEAN Single Window dan pelaburan dalam infrastruktur perdagangan digital rentas sempadan penting untuk menjadikan rantaian bekalan lebih cekap dan kurang bergantung kepada pasaran luar,” jelasnya.
2. Seimbangkan Transformasi Hijau dan Digital
Beliau turut menekankan keperluan menggerakkan transformasi ekonomi melalui gabungan ekonomi hijau dan digital secara seimbang.
“Agenda ASEAN Green Deal dan pembiayaan mampan wajar diperluas, manakala Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) perlu dimuktamadkan segera,” katanya.

Tambahnya, sinergi antara digitalisasi dan ekonomi hijau mampu meningkatkan produktiviti, mencipta pekerjaan berkualiti tinggi dan menyokong model pembangunan rendah karbon yang lebih mampan.
3. Pelbagaikan Ekonomi dan Tingkatkan Ketahanan Serantau
Bagi mengurangkan kebergantungan kepada faktor luaran, ASEAN disaran mempelbagaikan sektor strategik seperti semikonduktor, ekonomi halal dan kenderaan elektrik, selain memperkukuh keselamatan makanan dan tenaga.
“Ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang inovatif dan tahan krisis boleh menjadi tunjang kestabilan ekonomi serantau,” ujarnya.
Digital dan Hijau Lonjak Potensi Menjelang 2045
Mengulas prospek ASEAN sebagai pusat ekonomi baharu Asia menjelang 2045, Dr. Muhammad Irwan berkata pelaburan dalam pendidikan berteraskan nilai murni, infrastruktur digital dan tenaga hijau perlu dipertingkatkan.
“Tenaga kerja masa depan bukan hanya perlu celik teknologi, tetapi juga beretika, bertanggungjawab dan jujur agar pertumbuhan ekonomi disokong oleh integriti sosial,” katanya.
Penyelarasan Dasar Fiskal dan Pelaburan
Beliau turut mencadangkan penyelarasan dasar fiskal dan pelaburan antara negara anggota bagi mengurangkan jurang pembangunan dan membina rantaian nilai serantau yang kukuh.
BACA : Sidang Kemuncak ASEAN: Cerminan keupayaan digital, kepercayaan siber Malaysia di mata dunia
BACA : Malaysia anjur tiga Sidang Kemuncak ASEAN
“Pelabur lebih yakin apabila ASEAN bergerak secara kolektif dengan dasar yang stabil, telus dan selaras,” tambahnya.
ASEAN Perlu Kekal Neutral dan Pragmatik
Dalam menghadapi ketegangan geopolitik global, Dr. Muhammad Irwan menegaskan keperluan ASEAN mengekalkan sikap berkecuali dan pragmatik sebagai ‘zon selamat’ untuk pelaburan antarabangsa.
“Dengan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar, ASEAN mampu mengekalkan kestabilan serantau dan membina kepercayaan pelabur jangka panjang,” katanya sambil menggesa perluasan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan rakan bukan tradisional.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang baru berakhir jelas mencerminkan aspirasi tinggi rantau ini. Namun, pelaksanaan konsisten terhadap strategi ekonomi jangka panjang dilihat sebagai kunci utama ke arah pembentukan ASEAN yang bersepadu, pintar digital dan mesra iklim menjelang 2045.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








