Malaysia anjur tiga sidang kemuncak ASEAN
PUTRAJAYA – Malaysia sekali lagi bakal mencatat sejarah apabila menjadi tuan rumah kepada tiga sidang kemuncak serantau pada 26 dan 27 Mei ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia melibatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima taklimat mengenai persiapan sidang berkenaan dan menyifatkannya sebagai peluang besar untuk memperkukuh kerjasama serantau dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta China.
“Ini merupakan satu acara yang sangat bersejarah dan peluang baik untuk Malaysia. Ia juga memanfaatkan sidang tersebut bagi membolehkan perbincangan beberapa perkara termasuk isu-isu ekonomi serantau dan kerjasama bersama GCC serta China,” katanya dalam sidang media mingguan di bangunan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Tambah beliau, bagi melancarkan perjalanan sidang kemuncak tersebut, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membenarkan penjawat awam berkaitan untuk bekerja dari rumah (BDR), manakala syarikat swasta turut digalakkan mengambil langkah sama bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Kementerian Pendidikan juga akan mengumumkan senarai sekolah di laluan utama yang akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang sidang berlangsung,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fahmi memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka mengumumkan laluan utama serta lokasi strategik yang terlibat seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), TUDM Subang, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan hotel penginapan delegasi dalam masa terdekat.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dijangka menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu serantau dan memperkukuh kerjasama ekonomi serta memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, lebih 20,000 orang termasuk delegasi, perwakilan, peserta, urus setia dan petugas akan berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi acara tersebut.
Malaysia sebelum ini pernah menjadi Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






