BERITA SEMASA

Budaya membaca masih rendah, tidak selari aspirasi MADANI – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa budaya membaca dalam kalangan rakyat masih berada di tahap rendah dan belum menjadi amalan menyeluruh sekali gus tidak selari dengan aspirasi kerajaan MADANI yang menekankan kecintaan terhadap ilmu.

Menurut beliau, kecintaan terhadap ilmu tidak boleh hanya bergantung kepada ceramah atau perbahasan semata-mata sebaliknya mesti berasaskan pembacaan dan kefahaman yang mendalam.

“Membaca ini belum menjadi budaya di negara kita. Ini melelahkan apabila kita sebut negara MADANI iaitu negara yang berpaksikan keyakinan dan mencintai ilmu.

“Bagaimana kita boleh mencintai ilmu jika hanya mendengar syarahan, lontaran idea. Kadangkala disertai maki hamun tetapi tidak berteraskan ilmu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Tambah Anwar, dunia yang penuh cabaran hari ini memerlukan masyarakat yang memiliki penguasaan ilmu mendalam sebagaimana terbukti dalam kejayaan negara-negara maju yang berasaskan kekuatan ilmu pengetahuan.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap tahap penguasaan ilmu dalam negara khususnya dalam wacana politik dan ekonomi yang sering disandarkan kepada sentimen semata-mata.

“Lihat sahaja polemik politik dan ekonomi negara kita, tidak diasaskan kepada ilmu. Tidak membaca, hanya dipacu oleh kemarahan dan kebencian malah hukum agama pun dijadikan medan untuk bertelagah,” katanya.

Perdana Menteri turut menggesa golongan pemimpin politik, profesional dan teknokrat agar tidak mengetepikan pembangunan budaya dan pemikiran dalam mengejar kejayaan material.

Tegas beliau, gagasan MADANI tidak akan dapat direalisasikan jika hanya memberi fokus kepada pencapaian ekonomi semata-mata tanpa menekankan pembinaan budaya dan jati diri bangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button