
Paraglider China nyaris maut terbang setinggi Everest
QINGHAI – Seorang penggiat sukan udara dari China nyaris maut selepas tersedut ke dalam pusaran awan sejuk beku dan terbang sehingga mencapai ketinggian 8,598 meter hampir setinggi Gunung Everest ketika melakukan aktiviti paragliding di pergunungan Qilian, minggu lalu.
Bagaimanapun, selepas kejadian yang hampir meragut nyawa itu, beliau menerima hukuman digantung enam bulan daripada pihak berkuasa kerana melanggar peraturan penerbangan.
Mangsa, Peng Yujiang, 55, memulakan penerbangan dari altitud kira-kira 3,000 meter sebelum secara tiba-tiba dihanyutkan oleh arus udara menegak yang kuat ke lapisan atmosfera tinggi, di mana suhu mencecah -40 darjah Celsius dan kandungan oksigen amat rendah.
“Dia sempat berhubung melalui radio dengan rakannya di darat sebelum tidak sedarkan diri akibat cuaca ekstrem,” menurut laporan South China Morning Post.
Menurut laporan itu, Peng telah terbang lebih sejam berada di udara akhirnya berjaya melakukan pendaratan kira-kira 30 kilometer dari lokasi asal, namun mengalami kecederaan serius akibat radang dingin (frostbite) dan kini dirawat di hospital.
“Kejadian dramatik itu tular di platform media sosial China selepas rakannya memuat naik video menunjukkan keadaan Peng yang diselaputi ais,” menurut laporan itu lagi.
Namun, siasatan kemudian mendedahkan bahawa sebahagian visual tersebut dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi AI, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap keaslian rakaman.
Pihak Persatuan Sukan Udara Wilayah Gansu berkata, Peng tidak mengemukakan pelan penerbangan serta gagal mendapatkan kebenaran ruang udara, yang merupakan syarat wajib bagi sebarang penerbangan di China.

Ekoran itu, kedua-dua Peng dan rakannya, Gu Zhimin, dikenakan penggantungan aktiviti paragliding selama enam bulan.
Insiden ini mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan komuniti sukan udara China berhubung isu keselamatan dan kepatuhan terhadap peraturan penerbangan.
Peng kemudian mengakui pengalaman tersebut amat mengerikan dan beliau tidak lagi bercadang untuk terbang pada masa depan.
Insiden itu turut mengingatkan orang ramai kepada kejadian pada tahun 2007 melibatkan atlet paragliding Jerman, Ewa Wiśnierska, yang turut tersedut ribut petir dan terbang sehingga 9,946 meter di Australia sekali gus menonjolkan risiko sebenar sukan ekstrem itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








