BERITA SEMASA

‘Jumpa di Mahkamah, YB Mas!’ – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR — Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengambil tindakan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, susulan beberapa dakwaan yang disifatkan sebagai tidak berasas.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peguam MARA kini sedang dalam persiapan untuk memulakan prosiding saman berikutan kenyataan yang dibuat melalui video di TikTok, yang mendakwa beliau telah membazirkan wang MARA serta gagal menyelesaikan isu pembiayaan pelajar TVET.

“Saya tiada masalah untuk dikritik. Contohnya, kalau dikatakan tak wajar seorang Pengerusi bukan eksekutif membuat lawatan ke institusi-institusi pendidikan MARA tanpa maklumkan pihak pengurusan kerana boleh menyusahkan mereka.

“Tetapi bila sampai tahap melemparkan fitnah, memburukkan MARA dan menyebarkan tohmahan bahawa saya habiskan duit MARA kononnya untuk ‘terjah’ dan konon MARA sudah tidak biayai pelajar TVET, itu sudah melampau. InsyaAllah, kita jumpa di mahkamah, YB Mas!” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam video tersebut, Mas Ermieyati antara lain mendakwa bahawa MARA masih gagal menyelesaikan isu pembiayaan pelajar TVET walaupun janji telah dibuat berkali-kali.

Beliau turut mendakwa pegawai-pegawai MARA yang menyertai jelajah pendidikan tidak serius dalam menyelesaikan aduan penjaga pelajar.

“Bulan Julai nanti ramai pelajar lepasan SPM akan masuk ke institusi TVET MARA, tapi pelajar yang daftar Mac pun masih belum dapat isi borang pinjaman.

“Sepatutnya borang dibuka secara dalam talian minggu pertama hingga minggu kelapan, tapi sekarang masih belum dibuka,” katanya dalam video tersebut.

Asyraf menegaskan, tindakan saman ini bukan sekadar mempertahankan dirinya secara peribadi, tetapi demi menjaga nama baik dan integriti institusi Melayu-Bumiputera seperti MARA.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button