Pavilion al-Falah tonjol peranan setiap agensi Islam di PBAKL 2025
KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terlibat dalam pameran penerbitan dan perkhidmatan Islamik di Pavilion al-Falah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2025) sejak 23 Mei sehingga 1 Jun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mohd Nai’m Mokhtar berkata, penyertaan secara menyeluruh semua agensi pada PBAKL tahun ini merupakan inisiatif bersama bagi memperkukuh budaya membaca dan mendekatkan institusi agama kepada rakyat.
“Pavilion ini memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami fungsi dan peranan agensi Hal Ehwal Agama secara lebih terbuka dan berstruktur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pavilion al-Falah serta pelancaran 22 judul buku baharu disempurnakan di Pentas Utama,
Katanya, penglibatan aktif semua agensi mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperkasa syiar Islam melalui pendekatan ilmu dan pendidikan.
“Pavilion al-Falah bukan sekadar tapak pameran, tetapi medan penyampaian dakwah berasaskan ilmu, dialog dan keterbukaan,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan itu selaras dengan prinsip wahyu pertama yang menyeru kepada pembacaan sebagai asas kepada pembangunan intelektual dan rohani.
“Seruan ‘Iqra’ adalah asas kepada tamadun Islam. Maka, usaha ini diharap dapat memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat,” ujarnya lagi.
Antara pengisian sepanjang program termasuk sesi pelancaran buku, forum ilmiah, resensi buku, bicara penulisan dan sesi interaksi bersama penulis.
Pavilion al-Falah dibuka kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari sepanjang tempoh penganjuran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








