BERITA SEMASADALAM NEGERI

Nahas trak FRU: KPN sempurnakan majlis serah sumbangan

IPOH – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan kepada balu, waris dan mangsa nahas kemalangan jalan raya membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5, di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini semalam.

Ketibaan Razarudin disambut oleh Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin di pekarangan Mes IPK Perak.

Salah seorang mangsa iaitu anggota FRU yang terselamat dalam insiden tersebut menerima sumbangan daripada Razarudin.

Razarudin berkata, keluarga atau waris anggota yang terkorban telah menerima sumbangan wang tunai berjumlah lebih RM46,000, manakala mangsa yang mengalami kecederaan menerima sumbangan dianggarkan lebih RM11,000.

“Selain itu, balu atau waris mangsa yang meninggal dunia turut menerima RM25,000 setiap seorang daripada Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara yang telah dikreditkan pada 23 Mei 2025,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyalurkan sumbangan, termasuk Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Kontinjen Perak, IPK Johor, Koperasi Polis DiRaja Malaysia Berhad, Yayasan Insan Sakan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. dan Enforcement Leadership and Management University.

BACA : Stereng gagal berfungsi, lori bawa batu ragut 9 nyawa anggota FRU

Majlis turut dihadiri Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datuk Zainah Othman; Pengarah Jabatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan isteri merangkap Pengerusi PERKEP Jabatan KDNKA, Datin Seri Sharifah Rodziah Syed Agil; Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu; Pengerusi PERKEP Kontinjen Perak, Noormawati Abdul Latip dan barisan wakil penyumbang dan rakan-rakan media.

Dalam tragedi pada 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU maut apabila terlibat dalam nahas jalan raya membabitkan trak FRU dan lori bermuatan batu kerikil di Jalan Chikus, Sungai Lampan, Teluk Intan, Perak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button