BERITA SEMASA

Dua pelajar China lakon penculikan demi tebusan RM2.9 juta daripada ibu sendiri

KUALA LUMPUR – Dua penuntut warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu dengan berpura-pura diculik bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak lima juta Yuan (kira-kira RM2.9 juta) daripada ibu salah seorang daripada mereka.

Tertuduh, Zhang Runbao, 23, dan Ye Yingxi, 18, yang merupakan pelajar di sebuah universiti di Singapura, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azrul Darus selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki tersebut didakwa berpakat membuat panggilan video kepada ibu Ye Yingxi, memaparkan lakonan penculikan palsu.

Dalam rakaman itu, Ye dilihat dalam keadaan separuh bogel, dengan tangan diikat, mulut ditutup dengan pita pelekat hitam, leher dicekik, badan dipijak serta mukanya dituang air.

Tindakan tersebut bertujuan menakutkan ibu Ye, dikenali sebagai Zhiwen, agar memindahkan wang tebusan ke sebuah akaun di China.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman pada 2 Mei lalu, antara pukul 11.44 pagi hingga 9.15 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 dan Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Di bawah Seksyen 511, pesalah boleh dikenakan separuh daripada hukuman maksimum Seksyen 420.

Kedua-dua tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun, denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Mei.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Radzuan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ernie Sulastri Ahmad dan Ramesh Sivakumar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button