BERITA SEMASA

Paparan harga ubat: KKM masih pertimbang syor MMA – Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih mempertimbang permintaan terkandung dalam memorandum Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang disampaikan menerusi perhimpunan membantah paparan harga ubat pada 6 Mei lalu.

Antara tuntutan MMA adalah pemindaan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi membolehkan pelaksanaan paparan harga ubat di klinik swasta dibuat mengikut undang-undang berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau telah mengarahkan pengurusan tertinggi KKM agar mempertimbang serta mengkaji semula tuntutan GP swasta secara adil dan telus dengan mengambil kira kepentingan industri dan rakyat.

“Saya bersama-sama Pengurusan Tertinggi KKM akan melihat bagaimana tuntutan tersebut boleh dipenuhi khususnya cadangan agar peraturan ke atas ubat-ubatan diperuntukan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang dikawal selia oleh KKM.

“Berbanding dengan Akta 723 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atau pengekalan dasar dan peraturan semasa jika pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan oleh KKM sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Dzulkefly berkata, beliau mengalu-alukan cadangan penambahbaikan daripada semua pihak yang terkesan menerusi saluran rasmi di laman sesawang KKM, khususnya dalam tempoh tiga bulan bagi tujuan educational enforcement yang berkuat kuasa sejak 1 Mei 2025.

“KKM akan sentiasa berusaha untuk menambah baik ekosistem institusi kesihatan berpandukan nilai teras MADANI iaitu Kesejahteraan rakyat serta Kemampanan komuniti perubatan dalam menaik taraf kualiti hidup dan sosioekonomi penerima manfaat dasar Kerajaan MADANI,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button