BERITA SEMASA

‘Kami tamat dengan cinta, bukan dendam’ – Dr Wahida

Luahan Dr. Wahida kepada bekas suami raih pujian netizen

DALAM era media sosial yang pantas menularkan segala hal peribadi, jarang sekali kita temui kisah perpisahan yang dikongsi dengan penuh kasih, keikhlasan dan kedewasaan.

Namun, itulah yang ditunjukkan oleh seorang wanita, Dr. Wahida Shukeri apabila beliau tampil memperjelaskan kisah perpisahan dengan bekas suaminya, Dr. Khairy Adly setelah tular gambar perkahwinan baharu bekas pasangannya itu.

Menurut Dr. Wahida yang merupakan seorang usahawan, mereka telah sah bercerai setahun yang lalu pada 7 Mei 2024.

Tangkap layar status Wahida mengenai ketulusan hatinya mengucapkan selamat pengantin baru buat bekas suaminya mengundang sebak netizen.

Perpisahan itu berlaku secara baik, tanpa persengketaan atau drama, malah didorong oleh hasrat bersama untuk memastikan anak-anak mereka, Aishah dan Akif, tidak terbeban secara emosi akibat perpisahan ibu bapa.

“Kami masih berkawan. Kami co-parent macam biasa. Tiada perubahan dari segi kasih sayang buat anak-anak,” tulis beliau dalam perkongsian di Facebook.

Kematangan hubungan itu terserlah apabila Dr. Wahida menerima berita perkahwinan baharu Dr. Khairy dengan hati yang lapang.

Beliau sendiri mengakui pernah mencadangkan agar bekas suaminya mencari kebahagiaan lain kerana selama beberapa tahun, komitmen kerjayanya di luar negara seperti di Arab Saudi dan Brunei menjadikan mereka terpisah secara fizikal.

“Dr. K seorang lelaki yang setia. Kebaikannya sukar diungkap. Malah, seluruh keluarga saya menyayanginya,” jelas Dr. Wahida, mengenang bagaimana ibunya sendiri menyalahkannya apabila mereka mengumumkan penceraian.

Bagi Dr. Wahida, tiada kesalahan mutlak dalam perpisahan mereka. Ia adalah keputusan yang diambil setelah melalui pertimbangan yang panjang dan mendalam.

Beliau menekankan bahawa sebuah perkahwinan harus bersifat dua hala iaitu saling memberi dan menerima.

Bila hanya satu pihak yang berusaha, akhirnya hubungan tidak akan mampu bertahan.

Walau perpisahan terjadi, kasih tetap berbaki. Hubungan baik dengan keluarga bekas suami masih dikekalkan, malah adik-beradik Dr. Khairy masih menganggap Dr. Wahida sebagai ‘kakak’ mereka.

“Kita mula dengan cinta dan tamat pun dengan cinta. Alhamdulillah,” luahnya penuh reda.

Dr. Wahida turut menitipkan ucapan tahniah buat perkahwinan Dr. Khairy dengan pasangannya, Nurul.

Beliau menyifatkan Nurul sebagai wanita paling bertuah kerana memiliki lelaki sebaik Dr. K, seorang suami yang sabar, penyayang dan sentiasa menyokong.

“Saya tahu, takkan ada lelaki sebaik dia. Tapi mungkin cerita kami bukan ditulis untuk berakhir bersama. Allah tahu yang terbaik.”

Menutup perkongsian dengan doa dan harapan, Dr. Wahida percaya takdir Allah untuk dirinya akan tiba pada masa yang sesuai.

Buat masa ini, dia memilih untuk terus bergerak ke hadapan dengan tenang dan positif.

“Dan tentang saya? Allah ada cerita-Nya juga. Cuma belum lagi sekarang.”

Kisah Dr. Wahida adalah contoh wanita yang boleh diteladani terutama pasangan suami isteri yang berpisah.

Pasangan itu menjadi contoh perpisahan yang berlaku bukan bermakna mencipta permusuhan. Ia boleh menjadi permulaan kepada lembaran hidup baharu yang lebih baik untuk semua pihak.

Syaratnya menerima takdir dengan hati yang lapang, jiwa yang matang dan iman yang meyakini segala ketentuan Tuhan.

“Tinta yang sangat tulus dari seorang wanita. Bersih dan suci. Moga terus menjadi qudwah buat wanita di luar sana. Didoakan segala kebaikan buat Dr. W dan Dr. K. Stay strong Dr. W and keep inspiring us,” tulis Abu Hana.

“Allahuakbar, I just know. You are one in a million, Wahida Shukeri. You have one big golden heart!
Didoakan yang baik-baik selalu untuk awak,” komen Salha Salihuddin pula.

Setakat ini, hantaran itu menerima 5,800 reaksi, 173 komen dan 3,000 perkongsian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button