Tengku Zafrul dilantik terajui BAM
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini diumumkan sebagai Presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi penggal 2025 hingga 2029, setelah dipilih sebulat suara dalam mesyuarat Majlis BAM yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Pelantikan beliau menandakan era baharu dalam kepimpinan BAM, dengan tumpuan pemerkasaan struktur pembangunan dan prestasi sukan badminton negara di peringkat antarabangsa.
Menurut Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, keputusan sebulat suara itu mencerminkan keyakinan menyeluruh terhadap kewibawaan dan visi yang dimiliki oleh Tengku Zafrul dalam memacu BAM ke tahap lebih cemerlang.
“Apabila kami melihat gambaran yang lebih besar dan menilai situasi dengan teliti, saya bersetuju bahawa hanya individu yang tepat harus memimpin BAM.
“Kami di sini untuk membantu dan ini bukan tentang kepentingan peribadi,” ujar beliau dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut.
Sementara itu pelantikan beliau turut diumumkan melalui poster ucapan tahniah di laman Facebook BAM hari ini.
Tengku Zafrul, yang kini memegang jawatan sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, menyatakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan dan menegaskan komitmen beliau untuk memartabatkan sukan badminton tanah air.
“Saya dengan rasa rendah diri amat menghargai keputusan yang dibuat oleh ahli majlis BAM. Saya teruja untuk bertemu mereka dan mendengar pandangan mereka sebelum membuat sebarang kenyataan lanjut,” katanya ketika ditemu bual oleh BFM 89.9.
Pelantikan rasmi beliau dijangka bermula pada Januari 2026, sebaik tamat tempoh perkhidmatannya sebagai menteri pada hujung tahun ini.
Difahamkan, Tengku Zafrul telah mendapat restu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi membolehkan beliau bertanding jawatan tersebut dan memberikan tumpuan penuh terhadap pembangunan badminton negara.
Mempunyai latar belakang yang kukuh dalam sektor kewangan, tadbir urus korporat dan dasar awam, Tengku Zafrul dilihat sebagai tokoh yang mampu membawa pendekatan strategik serta pembaharuan dalam landskap pengurusan BAM.
Pelantikan beliau bukan sahaja membuka lembaran baharu bagi badan induk sukan badminton negara, malah turut disambut sebagai satu langkah ke depan dalam menjayakan misi menjadikan Malaysia sebagai kuasa badminton dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








