Chong Wei mahu perancangan awal, BAM elak budaya ‘last minute’ ke Sukan Asia
KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak lagi mahu mengamalkan budaya persiapan saat akhir apabila menuntut senarai pemain ke Sukan Asia 2026 dimuktamadkan lebih awal.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, pendekatan baharu itu penting bagi memastikan kempen di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober depan berjalan lancar dan tersusun.
Menurutnya, perancangan tidak boleh lagi dibuat satu atau dua bulan sebelum kejohanan seperti sebelum ini.
“Kita tidak boleh tunggu hingga saat akhir. Kita mahu mula merancang lima atau enam bulan lebih awal supaya semua perkara sudah siap dan teratur,” memetik NST online.
Beliau menjelaskan, pendekatan sama telah digunakan dalam persiapan menghadapi Thomas Cup 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.
Beliau berkata, perancangan ke Denmark sudah dipetakan sejak Disember lalu termasuk kelulusan bajet dan jadual perjalanan pasukan.
“Selepas tamat Badminton Asia Championships 2026 pada 7 hingga 12 April, kita akan terus berlepas ke Denmark dan berada di sana kira-kira 10 hari lebih awal sebelum kejohanan bermula,” katanya lagi.
Menurut Chong Wei, tindakan tiba lebih awal memberi kelebihan kepada pemain untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan zon waktu, keadaan cuaca dan gelanggang pertandingan.
Beliau turut berkata, kempen Sukan Asia memerlukan koordinasi lebih teliti kerana melibatkan acara berpasukan dan individu.
“Kita bercadang untuk ke Jepun lebih awal. Jurulatih perlu serahkan senarai nama lebih awal kerana mungkin kita akan adakan kem latihan di universiti di sana sebelum temasya bermula.
“Untuk urusan logistik dan perancangan latihan, kita perlu tahu siapa yang akan menyertai kem tersebut,” katanya lagi.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Chong Wei di pentas Sukan Asia adalah meraih pingat perak acara perseorangan lelaki pada edisi 2010 di Guangzhou.
Langkah proaktif itu dilihat sebagai usaha BAM memperkemas struktur persiapan bagi memastikan kontinjen badminton negara tampil lebih bersedia dan kompetitif di pentas antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








