POLITIK

Tindakan Tengku Zafrul cemar semangat setia kawan

CYBERJAYA – Tindakan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai parti lain terutama ketika masih memegang jawatan atas tiket UMNO, dianggap mencemarkan semangat setia kawan dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Wira Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata, tindakan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu sudah dijangka berdasarkan perkembangan dalaman mutakhir ini.

Jelas beliau, tindakan sedemikian boleh menimbulkan ketegangan dan mewujudkan prasangka dalam kalangan penyokong akar umbi.

“Justeru, kami menyeru semua parti komponen Kerajaan Perpaduan agar lebih beretika dan bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian politik bersama dan tidak mengamalkan budaya ‘memancing ahli’ sesama rakan gabungan.

“UMNO Selangor tidak akan berkompromi dalam soal kesetiaan dan keikhlasan terhadap perjuangan parti. Peletakan jawatan beliau adalah keputusan peribadi yang kami hormati, tetapi bukan sesuatu yang mengejutkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Mutalif berkata, UMNO Selangor akan terus memperkukuh saf kepimpinan, termasuk di bahagian Kota Raja serta kekal fokus terhadap misi memperjuangkan nasib rakyat.

UMNO juga tidak akan leka dengan drama individu, sebaliknya akan terus mara dengan semangat baharu demi agama, bangsa dan tanah air.

“Kami ingin tegaskan bahawa perjuangan UMNO bukan bersandarkan kepada satu individu. Parti ini sudah melalui pelbagai fasa cabaran dan pengkhianatan, namun tetap utuh kerana kekuatannya terletak pada akar umbi dan prinsip yang tidak boleh dijual beli,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu mengeluarkan kenyataan bahawa sudah menghantar surat peletakan jawatan dalam parti kepada pucuk pimpinan.

Tengku Zafrul juga mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button