MITI giat usaha kurangkan impak tarif, bantu syarikat tempatan
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus memainkan peranan membantu pengeksport dan syarikat tempatan dalam menghadapi kadar tarif baharu 19 peratus ke atas eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).
Menurut MITI, pihaknya bekerjasama rapat dengan agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menilai kesan kadar tarif tersebut ke atas pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, kementerian itu akan melibatkan kementerian serta agensi berkaitan bagi mengenal pasti kaedah terbaik dalam mengurangkan kesan terhadap pengeksport tempatan.
“MITI juga akan menggalakkan pengeksport memanfaatkan sepenuhnya 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada, selain meneruskan pelaksanaan dasar utama seperti NIMP 2030, Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Nasional Semikonduktor (NSS),” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, ketidaktentuan ekonomi global yang meningkat sejak Mac 2025 turut menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara.
Namun jelas beliau, Malaysia kekal berdaya tahan berikutan kekuatan permintaan domestik dan pelaksanaan reformasi ekonomi yang menyokong penggunaan swasta.
Baca juga : Pengurangan tarif kepada 19 peratus tidak jejas pelaksanaan dasar ekonomi penting – MITI
“MITI akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk memaksimumkan manfaat daripada perkembangan ini, termasuk momentum kukuh dalam pelaburan yang diluluskan.
“Kami tetap komited dalam mempertahankan kepentingan perdagangan Malaysia sambil membina perkongsian yang saling menguntungkan,” katanya.
MITI turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta semua pihak yang memainkan peranan dalam rundingan tersebut termasuk AMCHAM, USABC, badan pemikir dan wakil industri.
“Program jangkauan khusus mengenai pelaksanaan kadar tarif baharu ke pasaran AS akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Malaysia kekal komited mengukuhkan hubungan dagangan dengan AS yang merupakan pasaran eksport terbesar negara dengan nilai RM198.65 bilion dan sumber pelaburan asing terbesar bernilai RM32.82 bilion pada tahun 2024,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








