Tya mohon maaf jika pernah dianggap sombong, akui masalah rabun jauh
KUALA LUMPUR – Personaliti media sosial dan penyanyi, Tya Arifin tampil memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin pernah menganggap dirinya sombong atau kurang mesra ketika bertemu, sambil menjelaskan bahawa perkara itu tidak pernah disengajakan.
Menerusi hantaran di Threads, menantu kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza itu berkata, dirinya dibesarkan dalam keluarga sederhana dan menyedari perjalanan hidup yang dilalui sejak awal juga bukan sesuatu yang mudah.
“Sejujurnya, ini dari dalam hati saya. Saya tidak pernah mempunyai niat seperti itu. Saya dilahirkan daripada keluarga yang sederhana dan permulaan perjalanan saya juga tidak mudah.
“Jadi, untuk berniat sengaja mahu bersikap sombong bukanlah niat daripada diri saya,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik nama penuh Nurtria Wulandari Arifin itu juga menjelaskan bahawa masalah rabun jauh yang dialaminya mungkin menjadi antara punca dia tidak menyedari kewujudan sesetengah individu atau gagal membalas senyuman ketika berada di tempat awam.
Katanya, keadaan itu lebih ketara apabila dia tidak memakai kaca mata, sekali gus menyebabkan pandangan terhadap objek atau individu pada jarak jauh menjadi kurang jelas.
“Kalau saya tidak memakai kaca mata atau tidak membalas senyuman kalian, saya memohon maaf. Memang saya tidak nampak kerana saya rabun jauh,” tambahnya.
Tya pada masa sama mengakui dirinya seorang yang introvert dan tidak begitu mudah untuk berkawan, malah mempunyai lingkungan persahabatan yang kecil sejak zaman persekolahan hingga kini.
“Saya sebenarnya seorang yang introvert dan tidak begitu pandai berkawan. Kawan boleh dihitung dengan jari dari zaman sekolah sehingga hari ini.
“Bagi kalian yang mengenali saya secara peribadi, insya-Allah kalian boleh mengetahui bagaimana diri saya,” katanya.
Tya turut mengakui dirinya masih mempunyai banyak perkara untuk dipelajari dan berjanji akan terus berusaha memperbaiki kelemahan diri.
Sehubungan itu, dia sekali lagi memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin mempunyai pengalaman kurang menyenangkan ketika berurusan atau bertemu dengannya.
“Saya bukanlah orang yang sempurna. Masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan saya juga akan berusaha untuk menjadi lebih baik,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

