POLITIK

Tindakan Tengku Zafrul bercanggah dengan perjuangan kestabilan politik – Wanita UMNO

CYBERJAYA – Wanita UMNO menyifatkan tindakan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz meninggalkan UMNO bagi menyertai parti lain bercanggah dengan kestabilan politik yang diperjuangkan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pergerakan tersebut turut berasa terkilan dengan tindakan Tengku Zafrul itu.

“Wanita UMNO khuatir tindakan ini akan mencetuskan ketidakpercayaan dan ketidakharmonian dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

“(Ini kerana) Kerajaan MADANI ini dibentuk atas dasar kerjasama antara parti-parti yang berbeza ideologi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, semua komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini sepatutnya menumpukan usaha membangun ekonomi dan membaik pulih tadbir urus negara.

“Politik Malaysia memerlukan kematangan dan komitmen terhadap prinsip parti.

“(Oleh itu) Kami menyeru semua pemimpin menghormati satu sama lain dan memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi rakyat,” katanya lagi.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan pengundurannya daripada semua jawatan dalam UMNO dan mahu meninggalkan parti tersebut bagi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau turut memberitahu sudah memaklumkan hasratnya itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button