AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Dongfeng sasar jual 500 Unit Dongfeng BOX, tampil warna baharu di Malaysia Autoshow 2025

SERDANG – Dongfeng Cars Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 500 unit model kereta elektrik Dongfeng BOX menjelang hujung tahun ini, susulan sambutan positif sejak pelancarannya tahun lalu.

Menurut Pengurus Besar Central Auto Distributors Berhad (CADB), Wan Ahmad Fadzli Wan Mustafa, lebih 100 unit telah terjual setakat ini, termasuk 24 unit yang didaftarkan pada bulan lalu.

“Kami optimis untuk mencapai sasaran 500 unit tahun ini. Di Malaysia Autoshow 2025, kami tampil dengan tiga tarikan utama iaitu kempen EV Pertamaku, warna baharu perak dan ‘teaser’ dua model baharu dalam segmen sedan sport serta SUV,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Pameran Automotif Malaysia 2025 di MAEPS, Serdang semalam.

Dari hanya RM100,000, orang ramai kini boleh memiliki EV serba moden serta ganjaran bernilai sehingga RM20,000. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune
Dongfeng
Dongfeng BOX E3 tampil dengan ciri moden, dengan bateri 42.3 kWh dan jarak pemanduan hingga 430 km. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Kemunculan sulung jenama tersebut di pameran itu menandakan penyertaan rasmi pertama Dongfeng Cars Malaysia dalam acara automotif terbesar negara.

Kempen istimewa ‘EV Pertamaku’ dilancarkan sempena acara itu menawarkan pelbagai insentif, termasuk penurunan harga model BOX E3 daripada RM115,000 kepada RM100,000, serta ganjaran bernilai sehingga RM20,000 bagi model MY2024.

Pakej ini turut disertakan pengecas mudah alih 3-pin dan aksesori storan hadapan secara percuma, tertakluk kepada stok.

Selain itu, Edisi Perak bagi Dongfeng BOX E3 turut diperkenalkan sebagai tambahan terbaharu kepada empat warna sedia ada iaitu putih, ungu, biru dan hijau yang dijangka menarik minat pengguna tempatan.

Mohamed Nazari (kanan) bersama Wan Ahmad (kiri) Pameran Automotif Malaysia 2025 di MAEPS, Serdang. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Pengarah Urusan CADB, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, warna perak itu diperkenalkan berdasarkan cita rasa pembeli Malaysia yang cenderung kepada gaya lebih moden dan premium.

“Ini warna kelima kami dan pertama kali ditampilkan di Malaysia. Ia lebih ‘appealing’ dan menyerlah. Sambutan terhadap jenama Dongfeng juga semakin meningkat melalui pelbagai siri jelajah dan pameran,” katanya.

Dongfeng BOX tampil elegan dalam warna ungu muda, menyerlahkan tarikan gaya untuk generasi muda. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Model BOX E3 dilengkapi bateri 42.3 kWh dengan jarak pemanduan sehingga 430 km (CLTC), motor elektrik 70 kW (94 hp) dengan tork 160 Nm, serta ciri moden seperti Sistem Bantuan Pemandu Tahap 2 (ADAS), skrin infotainmen 12.8 inci, pengecas tanpa wayar dan sistem parkir automatik.

Setakat ini, Dongfeng memiliki 16 pusat jualan di seluruh negara dan menyasarkan pembukaan lima hingga enam pusat servis menjelang hujung tahun, termasuk sebuah pusat servis ‘flagship’ di Damansara yang bakal dibuka bulan depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button