5,256 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Tanah Suci
MEKAH – Seramai 5,256 jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1446H/2025M selamat tiba di Tanah Suci sejak penerbangan pertama pada 29 April lalu.
Jumlah itu melibatkan 19 penerbangan yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdul Aziz, Madinah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, daripada jumlah itu, 4,419 jemaah kini masih berada di Madinah, manakala selebihnya 837 jemaah telah memasuki Mekah secara berperingkat sejak semalam.
“Alhamdulillah, jemaah haji yang telah sampai ke Mekah telah selesai menunaikan ibadah umrah masing-masing.
“Insya-Allah, waktu wukuf adalah lebih kurang dalam 30 hari lagi.
“Tabung Haji telah merangka pelbagai aktiviti termasuk aktiviti pembimbingan untuk mereka mengisi masa mereka di sini sebelum berwukuf nanti di Arafah pada 9 Zulhijjah, insya-Allah,” katanya dalam satu sidang media di Mekah, memetik laporan RTM.
Tambah Mohd Hisham, pergerakan jemaah haji dari Madinah ke Mekah semalam melibatkan tiga kumpulan iaitu KT1 menginap di Hotel Hotel Abraj Al Janadiriyah dengan 253 jemaah, KT2 di Hotel Land Premiere (328 jemaah), dan KT3 di Hotel Abraj Tayseer dengan 256 jemaah.
Tiga lagi kumpulan jemaah dijadualkan bergerak dari Madinah secara berperingkat, mengikut jadual pergerakan yang telah ditetapkan.
Bagi musim haji tahun ini, kerajaan Arab Saudi telah meluluskan sebanyak 31,600 kuota jemaah haji Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












