Malaysia sambut baik pembukaan kedutaan Kosovo, perkukuh pelaburan dan eksport halal
PUTRAJAYA – Malaysia menyambut baik pembukaan kedutaan Republik Kosovo di Kuala Lumpur yang dianggap sebagai satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang perdagangan, pelaburan, kebudayaan dan pelancongan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembukaan kedutaan tersebut bakal memberi peluang besar untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, khususnya dalam industri halal.
Menurut beliau, Malaysia memiliki pensijilan halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan potensi kerjasama eksport produk halal dengan Kosovo.
“Kami tidak menganggap ini sebagai hubungan diplomatik biasa. Sebaliknya, ia adalah komitmen jangka panjang untuk merancakkan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Kosovo,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh Presiden Kosovo, Dr. Vjosa Osmani-Sadriu serta delegasinya di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Sementara itu, Dr. Vjosa Osmani turut menyatakan kesediaan untuk memperluas perdagangan serta menggalakkan pelaburan dalam sektor-sektor utama seperti pertanian, tenaga, teknologi dan industri halal bagi membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua negara.
Beliau berkata, hubungan antara kedua-dua negara bukan hanya bersandarkan kepada sejarah, tetapi dipacu oleh hala tuju masa depan yang jelas serta wawasan bersama.
“Dalam perbincangan, kami mengulangi komitmen untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan memperdalam kerjasama ekonomi dalam pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut memberi jaminan rundingan Malaysia-Kosovo di peringkat rasmi akan diteruskan dalam masa terdekat bagi memastikan pelaksanaan program dan projek bersama dapat dilaksanakan dengan lancar.
Anwar berkata, kedua-dua negara juga berkongsi persamaan dalam pelbagai isu antarabangsa, termasuk hak asasi manusia serta usaha bersama ke arah keamanan global seperti pembebasan Palestin.
“Kami amat menghargai sokongan masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan dan kemerdekaan Kosovo. Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















