Berita Semasa

Pembangunan negara kini di landasan tepat

KUALA LUMPUR  – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpandangan negara kini berada di landasan yang tepat bagi menjayakan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ia dibuktikan dengan pertumbuhan ekonomi negara yang semakin meningkat dan mampan dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melonjak sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023.

“Mengambil kira cabaran ekonomi global, termasuk ketidaktentuan ekonomi pasca pandemik COVID-19 dan krisis geopolitik yang membawa kesan kepada kos sara hidup rakyat, kerajaan beta hendaklah menumpukan kepada pelaksanaan projek pembangunan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat seperti yang digariskan dalam Belanjawan MADANI 2023,” titah Seri Paduka, lapor Bernama.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, agenda kesejahteraan rakyat, termasuk meluaskan sistem jaringan perlindungan sosial bagi membendung isu peningkatan kos sara hidup perlu terus diberikan tumpuan.

“Beta berkeyakinan usaha-usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan ikhtiar dan meneroka strategi baharu yang berinovatif, mampu memberikan kesan positif kepada sosioekonomi rakyat Beta,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan menyanjung tinggi komitmen kerajaan dalam menjalin hubungan kerjasama yang baik dan erat dengan semua kerajaan negeri demi kemaslahatan rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button