Isu istilah ‘kuil haram’ tidak dibincang dalam mesyuarat Kabinet – Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA – Permohonan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan agar jabatan dan agensi kerajaan menghentikan penggunaan istilah ‘kuil haram’ tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika menjawab soalan media mengesahkan perkara tersebut tidak menjadi agenda dalam mesyuarat Kabinet.
“Tidak dibincangkan,” katanya ringkas dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Fahmi turut menjelaskan bahawa terdapat beberapa isu lain yang ditimbulkan oleh media pada hari ini juga tidak dibincangkan, termasuk hal yang berada di bawah siasatan pihak berkuasa.
“Saya difahamkan isu tersebut berada di bawah siasatan pihak PDRM, jadi saya mohon puan rujuk dengan pihak PDRM untuk maklumat yang lebih terperinci,” katanya.
Terdahulu, Saravanan dilaporkan menghantar sepucuk surat kepada Pejabat Perdana Menteri sebagai tindak balas terhadap maklum balas pengurusan Hospital Taiping, Perak mengenai kewujudan sebuah tempat ibadat Hindu di kawasan hospital yang dikategorikan sebagai ‘kuil haram’.
Menurut Saravanan, tindakan menggunakan istilah sedemikian adalah tidak sensitif dan menyinggung perasaan masyarakat Hindu, memandangkan sebahagian besar rumah ibadat seperti itu telah dibina sejak zaman penjajahan British dan Jepun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








