BERITA SEMASA

Cadangan kerajaan negeri jadikan pangsapuri di Kota Warisan penempatan sementara mangsa letupan gas disambut baik

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu menyambut baik cadangan kerajaan negeri untuk menjadikan Pangsapuri Seri Suria di Kota Warisan, Sepang sebagai salah satu penempatan sementara kepada mangsa letupan saluran gas di Putra Heights, Puchong.

Aiman Athirah dalam satu kenyataan berkata, beliau sudah menerima maklum berkenaan perkara ini secara tidak rasmi daripada Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, semalam.

“(Bagaimanapun) Kita memahami jarak di antara lokasi kejadian dengan penempatan ini kira-kira 30 kilometer, dan ia tertakluk sepenuhnya dengan persetujuan mangsa,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Jelasnya, rumah SMARTSewa Selangor dengan subsidi kerajaan Selangor ini boleh menempatkan 116 keluarga yang terkesan akibat kejadian berkenaan.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Selangor akan menawarkan lebih 100 rumah menerusi skim SMART Sewa Selangor kepada mangsa dengan sebahagian kadar sewaan ditanggung kerajaan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri ketika ini masih mengenal pasti lokasi kediaman sementara berkenaan, selain mangsa dijangka memasuki rumah itu mulai minggu depan.

Rumah sementara itu disediakan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di samping mendapat kerjasama daripada pihak Airbnb.

“Sebahagian mangsa akan ditempatkan di Kota Warisan, Sepang, manakala bakinya bakal mendiami rumah di beberapa kawasan yang akan dikenal pasti kemudian,” katanya.

Aiman Athirah berkata, rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi itu dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan dua petak tempat letak kenderaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button