Kepentingan miliki insurans kebakaran
SUBANG JAYA – Insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini, semalam telah mengakibatkan 78 buah rumah dan 10 premis perniagaan musnah, manakala 237 rumah lagi turut mengalami kerosakan.
Kejadian yang berlaku pada hari kedua umat Islam meraikan sambutan Aidilfitri itu juga memberi kesan kepada 305 orang mangsa dengan 125 daripadanya mengalami kecederaan.

Melalui satu hantaran di Facebook, seorang peguam telah menulis pandangannya mengenai tragedi tersebut dan mengingatkan kepada semua pihak mengenai kepentingan insurans dan cabaran dalam sistem perundangan.
Ahmad Termizi Abdullah berkongsi pengalaman ketika mengendalikan kes di mana anak guamnya terselamat daripada kerugian total kerana memiliki insurans kebakaran.
Bagaimanapun, anak guamnya kemudian disaman oleh jirannya yang mendakwa kebakaran berpunca dari rumah beliau.
Dalam perbicaraan, laporan forensik bomba yang sebelum itu tidak didedahkan akhirnya dikemukakan dan mengesahkan bahawa kebakaran bermula dari rumah anak guamnya.
“Saya teliti setiap fakta, setiap butiran. Kemudian sesi soal balas saksi pakar pun bermula. Saya tidak gentar. Fokus saya adalah pada punca sebenar kebakaran iaitu litar pintas.
“Saya mendesak saksi pakar mengesahkan sesuatu yang penting: Litar pintas bukan kecuaian anak guam saya. Malah ia boleh berlaku kepada mana-mana rumah di Kawasan itu. Lebih-lebih lagi kerana pendawaian elektrik di situ sudah berusia lebih 30 tahun. Pihak bomba sendiri mengakui kebarangkalian itu,” jelasnya.
Tambah beliau, keputusan mahkamah akhirnya memihak kepada anak guamnya dan menolak tuntutan plaintif.
“Malangnya, plaintif sendiri tidak mengambil insurans kebakaran. Rumah sudah musnah, tuntutan pula tidak berjaya.
“Pengajaran? Kebakaran boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jangan ambil ringan soal insurans. Dan dalam dunia guaman, persiapan dan strategi adalah segala-galanya.
“Semoga Allah mempermudahkan urusan mangsa-mangsa kebakaran di Putra Heights,” tulisnya mengakhiri perkongsian tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan Petronas akan mengambil tanggungjawab memperbaiki dan memulih kawasan perumahan terjejas, namun ia dijangka mengambil masa untuk dilaksanakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








