BERITA SEMASALUAR NEGARA

19 terbunuh dalam serangan udara Israel di Jabalia

JABALIA – Serangan udara Israel ke atas sebuah klinik milik agensi bantuan dan kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Pelarian Palestin (UNRWA) di Jabalia, Gaza, mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang, termasuk sembilan kanak-kanak.

Klinik tersebut merupakan tempat perlindungan bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal berikutan operasi ketenteraan Israel yang masih berterusan.

“Tentera Israel telah mengesahkan serangan tersebut dan mendakwa bahawa sasaran itu merupakan sebuah pusat kawalan dan arahan milik Hamas,” katanya.

Walau bagaimanapun, tiada bukti yang dikemukakan bagi menyokong dakwaan tersebut.

Serangan itu berlaku ketika Israel giat memperluaskan operasi darat di Gaza.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, turut mengumumkan rancangan untuk mengambil lebih banyak wilayah sebagai zon penampan.

“Sejak operasi ketenteraan disambung semula, lebih daripada 1,100 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh.

“Jumlah korban keseluruhan perang ini telah melebihi 50,000 orang,” menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Manakala Pejabat Media Kerajaan Gaza melaporkan angka kematian mencecah 61,500 orang termasuk mereka yang masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Krisis kemanusiaan di Gaza semakin memburuk apabila sekatan Israel terhadap wilayah itu memasuki hari ke-31.

Keadaan itu memaksa penutupan semua kedai roti termasuk 25 yang dikendalikan oleh program makanan sedunia.

UNRWA menggesa gencatan senjata dan memberi amaran bahawa keadaan semakin meruncing.

Di samping itu, perintah pemindahan baharu yang dikeluarkan Israel di Rafah menyebabkan lebih 140,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal sejak permulaan konflik ini.

Pesuruhjaya Jeneral UNRWA, Philippe Lazzarini, mengecam serangan ke atas pekerja bantuan, dengan menyatakan bahawa seramai 408 anggota kemanusiaan telah terbunuh, termasuk lebih 280 kakitangan UNRWA.

Pada 31 Mac, Lazzarini mengesahkan kematian dua anggota UNRWA dan lapan pekerja kemanusiaan dari Bulan Sabit Merah Palestin.

“Tiada bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza selama lebih tiga minggu. Ini merupakan tempoh paling lama Gaza terputus bekalan sejak perang bermula.

“Sewaktu gencatan senjata, sekitar 500 hingga 600 trak membawa bekalan setiap hari. Kini, langsung tiada bantuan masuk. Ibu bapa tidak dapat mencari makanan untuk anak-anak mereka.

“Kekurangan ubat-ubatan dan harga barang melambung tinggi. Kebuluran semakin meningkat, manakala risiko penularan penyakit semakin membimbangkan,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada 27 Mac lalu.

Beliau turut menegaskan keperluan untuk tindakan akauntabiliti menyatakan bahawa serangan terhadap petugas kecemasan dan orang awam adalah satu pelanggaran undang-undang antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button