JENAYAH & MAHKAMAH

Padah pukul pengawal peribadi berpuasa, ahli perniagaan dipenjara dan denda RM22,000

KLANG – Seorang ahli perniagaan dihukum penjara enam tahun 10 bulan dan denda RM22,000 oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah menghina, mencederakan dan mengugut pengawal peribadi kerana berpuasa pada 2021.

Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu ke atas Chung Chee Yang, 47, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan pindaan.

puasa
Gambar Kes – Foto FB

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama 21 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Chung didakwa mengugut pengawal peribadi, Mohd Azminizam Zulkepli, 48, dengan mengacukan pistol yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengeluarkan kata-kata menghina berkaitan ALLAH dan puasa dengan niat mencederakan perasaan penganut Islam, yang didengar oleh Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri Zailani, 31.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa dengan pertuduhan ketiga kerana sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Semua kesalahan itu dilakukan di luar sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, di sini, antara pukul 9.30 hingga 10.30 malam pada 13 April 2021.

Mahkamah turut menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan dia diperintahkan menjalani hukuman serta-merta di Penjara Kajang.

Peguam tertuduh, Abdul Hakeem Aiman, dalam rayuan hukuman, memohon mahkamah mengambil kira sumbangan anak guamnya kepada masyarakat, termasuk membantu lebih 50 individu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta menjaga kebajikan pekerja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nuruljannah Aimi, berhujah bahawa hukuman berat perlu dikenakan kerana tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kecederaan individu.

“Kesalahan ini bukan sahaja melibatkan keganasan, tetapi juga menyentuh sensitiviti agama.

“Hukuman setimpal perlu diberikan untuk mempertahankan kepentingan awam dan memberi keadilan kepada mangsa yang mengalami trauma akibat kejadian itu,” katanya.lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button