
Wanita cedera dihempap basikal dibuang dari tingkat 12 PPR
KUALA TERENGGANU – Seorang wanita cedera di kepala selepas dihempap basikal yang dibuang dari tingkat 12 bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, di sini semalam.
Akibat kejadian, mangsa, Azuraini Yazid, 43, yang juga pembantu TABIKA Kemas di Pasir Panjang menerima lima jahitan di kepala, lapor Buletin TV3.
Menurut suami mangsa, Jusri Ibrahim, 48, kejadian berlaku apabila isterinya sedang berjalan untuk membuang sampah.
Bagaimanapun, isterinya secara tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri dengan kepala berdarah selepas dihempap basikal yang dibuang itu.
“Isteri (kemudian) dihantar ke unit kecemasan HSNZ, menerima lima jahitan di kepala dan keadaannya stabil,” katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Tambah Jusri, dia sudah berjumpa pemilik basikal terbabit, namun pihak berkenaan mendakwa basikal anaknya yang berada di luar rumah dibuang individu lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan sudah merakam percakapan seorang penghuni kediaman yang mengaku basikal itu miliknya, namun tidak terbabit membuang basikal daripada tingkat 12.
“Setakat ini siasatan masih dijalankan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil serta dibenarkan pulang ke rumah awal pagi ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














