15,000 hadir Iftar@KL di Dataran Merdeka
KUALA LUMPUR – Suasana di Dataran Merdeka semalam meriah apabila lebih 15,000 orang hadir bagi menyertai program Iftar@KL 2025 yang kini memasuki tahun ke-13 penganjurannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kehadiran ribuan orang tanpa mengira latar belakang mencerminkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia.
“Saya berkesempatan mengagihkan bubur lambuk kepada para pengunjung sebelum waktu berbuka. Melihat lautan manusia yang hadir, saya percaya inilah kekuatan sebenar kita – keharmonian dalam kepelbagaian,” katanya.
Selain berbuka puasa secara berjemaah, program ini turut menampilkan pelbagai pengisian menarik, termasuk acara tradisional Malam 7 Likur, yang membawa kembali nostalgia kemeriahan kampung halaman.
“Kalau dahulu, jiran tetangga bergotong-royong memasang pelita di setiap penjuru kampung. Walaupun suasana di ibu kota berbeza, tradisi ini tetap diteruskan sebagai lambang perpaduan dan kesinambungan warisan budaya,” tambahnya.
Iftar@KL terus menjadi antara acara tahunan ikonik di Wilayah Persekutuan, menyatukan masyarakat dalam suasana penuh keberkatan sepanjang bulan Ramadan.
Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








