
Lelaki buka pintu kecemasan pesawat kerana sesak nafas, mahu turun cepat
SEOUL – Individu yang membuka pintu kecemasan pesawat Asiana Airlines ketika dalam penerbangan semalam memberitahu dia berbuat demikian kerana berasa sesak nafas dan mahu turun dengan cepat.
Pesawat Airbus A321-200 itu yang membawa 194 penumpang sedang dalam penerbangan domestik ketika menghampiri landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Daegu, kira-kira 240 kilometer di tenggara Seoul.
Video kejadian => https://www.facebook.com/reel/3049552655352960
Apabila pesawat berada sekitar 200 meter sebelum mendarat, polis berkata lelaki berusia sekitar 30-an yang tidak didedahkan identitinya bertindak membuka pintu keluar.
Penumpang itu kemudiannya ditahan polis Daegu untuk disoal siasat dan memberitahu polis bahawa dia tertekan selepas kehilangan pekerjaan baru-baru ini.
“Dia berasakan penerbangan itu mengambil masa lebih lama daripada yang sepatutnya dan berasa sesak nafas dalam kabin. Jadi dia mahu keluar dengan cepat,” kata seorang detektif polis Daegu kepada AFP.
Berikutan itu, penumpang terbabit berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun kerana melanggar undang-undang keselamatan penerbangan.
Video kejadian tersebut mula menjadi tular media sosial semalam.
Rakaman menunjukkan angin merobek pintu terbuka di udara, dengan kain sandaran tempat duduk dan rambut penumpang berterbangan selain beberapa penumpang menjerit ketakutan.
Satu lagi video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan penumpang duduk di barisan keluar kecemasan di sebelah pintu terbuka ditiup angin kuat.
Menurut Kementerian Pengangkutan Korea Selatan, 12 orang dibawa ke hospital selepas pesawat itu mendarat kerana mengalami masalah ketidakselesaan dan pernafasan.
Tiada kecederaan serius atau kerosakan direkodkan. Seorang penumpang berusia 44 tahun memberitahu Yonhap bahawa keadaan huru-hara dalam penerbangan selepas pintu pesawat dibuka.
Sementara itu, seorang pegawai Kementerian Pengangkutan memberitahu AFP bahawa ia adalah kejadian pertama dalam sejarah penerbangan Korea Selatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








