‘Sempat cucuk matanya dgn jari… baru dilepas gigitan’ – Mangsa serangan buaya
Lelaki kongsi pengalaman ngeri diserang buaya
CYBERJAYA – Seorang lelaki tidak menyangka dirinya hampir menjadi mangsa seekor buaya ketika keluar menjala udang di Sadong Jaya, Sarawak, kelmarin.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 5 petang, 26 April itu, Shahril Saupi, 36, mengalami kecederaan di kaki selepas disambar buaya berkenaan.
Pengalaman cemas Shahril, yag berasal dari Kampung Rangawan dikongsikan dalam satu hantaran di laman Facebook milik Sarawak Edition SE.
Shahril yang bekerja sebagai seorang pembantu am di sebuah sekolah di situ berkata, beliau menjala udang bagi menambah pendapatan keluarganya, dan pada hari kejadian, sedang menjala di kawasan pintu air Kampung Sg Buloh.

“Pada ketika itu, air sedang pasang dan cuaca cerah.
“Tiba-tiba kaki kiri saya disambar oleh seekor buaya, dan saya terus ditarik ke kawasan (air) dalam,” kata Shahril.
Beliau kemudian cuba untuk melepaskan diri dari gigitan sang bedal itu namun tidak berjaya.
“(Saya cuba melawan ) selama lima minit, tapi tak berjaya (lepaskan diri).

“(Tapi kemudian) Saya dapat cucuk mata buaya itu dengan jari, baru dia lepaskan gigitannya pada kaki,” jelas Shahril.
Beliau kemudiannya berjaya berenang ke tebing sungai lalu merangkak naik ke daratan.
Shahril berkata, beliau kemudiannya dibantu oleh orang-orang kampung yang dipercayai berada berdekatan.
Ketika bergelut dengan haiwan tersebut Shahril berkata, beliau ingat untuk berselawat dan memohon kepada Allah supaya supaya diselamatkan.
“Sudah lima tahun lebih saya menjala udang (di sini) dan ini kali pertama saya diserang.
“Saya ingin nasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berada di kawasan ini,” katanya lagi.
Susulan kejadian, Shahril mengalami kecederaan di kaki akibat gigitan buaya tersebut, dan juga luka-luka di perut dipercayai akibat terkena kuku reptilia berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








