Berita Semasa

Peranan wartawan tidak akan berubah

Benteng kepada penyebaran berita palsu

KUALA LUMPUR – Peranan dan kepentingan wartawan sebagai sumber maklumat tepat tidak akan berubah meskipun media berdepan dengan perubahan corak penyampaian serta maklumat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata, wartawan mempunyai peranan umpama adiwira dalam menangani penyebaran berita palsu di alam maya yang semakin menular seiring dengan perkembangan teknologi.

“Tidak dapat dinafikan wartawan merupakan barisan hadapan untuk menyebar luas maklumat yang sahih dan benar kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada acara pelepasan peserta Media Hunt Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata, 49 kes berita palsu yang dicatatkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sejak Januari hingga penghujung April tahun ini telah disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Teo berkata, beliau amat menghargai sumbangan wartawan dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan untuk Malaysia MADANI termasuk teguran bernas dan berasas supaya kerajaan dapat menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengenai penganjuran HAWANA 2023, Teo merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana yang bertungkus-lumus menggerakkan usaha dengan sokongan organisasi-organisasi media tempatan dan antarabangsa serta rakan-rakan penaja.

Pada acara Media Hunt HAWANA 2023 hari ini, Teo melepaskan 30 kenderaan melibatkan 120 peserta terdiri daripada pengamal media dari pelbagai agensi yang akan ke beberapa destinasi menarik, bersejarah dan penuh dengan warisan di Perak.

Bagi acara itu, hadiah disediakan hingga tempat ke-10, dengan tempat pertama akan meraih wang tunai berjumlah RM4,000, tempat kedua (RM2,500) dan ketiga (RM1,500).

Sambutan HAWANA 2023 yang mengangkat tema ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ yang bertujuan memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas, berlangsung selama tiga hari mulai hari ini.

Majlis Kemuncak HAWANA 2023 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional dan ia dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Show More

Related Articles

Back to top button