15 maut, 25 cedera dalam serangan militan di pangkalan tentera Pakistan
KARACHI – Sekurang-kurangnya 15 orang maut, manakala 25 lagi cedera dalam serangan militan yang mensasarkan pangkalan tentera di Bannu, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan, semalam.
Menurut pegawai keselamatan, kumpulan bersenjata itu merempuh dua kenderaan sarat bahan letupan ke dinding luar pangkalan sebelum letupan kuat menggegarkan kawasan sekitar.
Insiden itu turut menyebabkan bumbung beberapa rumah berhampiran runtuh, mengorbankan orang awam.
“Seramai 15 orang maut, termasuk wanita dan kanak-kanak. Enam penyerang turut terbunuh, manakala beberapa lagi kini sedang dikepung di dalam kawasan tertentu,” kata seorang pegawai tentera kepada agensi berita Anadolu yang enggan namanya didedahkan.
Jurucakap hospital daerah Bannu, Dr Nauman Ahmed, memaklumkan empat wanita dan dua kanak-kanak antara yang terkorban, manakala beberapa mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, namun kumpulan militan bersekutu dengan Tehreek-Taliban Pakistan (TTP) sering menyasarkan pasukan keselamatan negara tersebut.
Serangan itu menyumbang kepada peningkatan keganasan di Pakistan tahun ini, dengan rekod 685 kematian akibat 444 serangan pengganas, menjadikannya antara tahun paling mencabar bagi pasukan keselamatan sejak dua dekad lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








