Simpan 12 pasport asing, pegawai Imigresen disiasat, ditukar
PUTRAJAYA – Pegawai Imigresen yang didakwa menyimpan 12 pasport asing di pinggang seluarnya ketika tertidur di tempat kerja sudah ditukar ke Depoh Tahanan KLIA tetapi belum melaporkan diri hingga kini.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kertas siasatan integriti sudah dibuka bagi menyiasat insiden berkenaan.
“Proses siasatan integriti masih dilaksanakan secara dalaman oleh Bahagian Integriti Imigresen KLIA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, satu laporan polis turut dibuat 7 Januari lalu dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tindakan jabatan.
Zakaria berkata, pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemari nama baik dan imej jabatan.
“Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang termasuk tindakan buang kerja jika pegawai terbabit terbukti bersalah.
“Kita mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku integriti Pegawai Imigresen melalui talian 03-8801246 atau melalui e-mel aduanintegriti@imi.gov.my,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut, seorang pegawai imigresen didakwa menyimpan 12 pasport asing di pinggang seluarnya ketika tertidur di tempat kerja dan disyaki mempunyai unsur rasuah.
Perbuatan pegawai berkenaan terbongkar ketika tidur di Bilik Mesyuarat Pejabat Operasi Terminal 2 di luar waktu rehatnya, sekali gus menimbulkan syak pegawai lain yang membuat laporan polis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














