Mangsa banjir di Sabah meningkat, Sarawak catat penurunan
KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah terus meningkat daripada 721 orang kepada 989 orang pagi ini.
Manakala di Sarawak, jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,465 orang berbanding 3,082 orang pada malam sebelumnya dengan 16 PPS masih beroperasi setakat pagi ini.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS negeri itu melibatkan 305 keluarga.
Katanya, Daerah Membakut yang mula dilanda banjir petang semalam, kini menempatkan 160 mangsa daripada 53 keluarga di satu PPS.
“Seramai 538 orang daripada 177 keluarga berlindung di tiga PPS di Beaufort, 278 orang (71 keluarga) di dua PPS di Kinabatangan dan 13 orang daripada empat keluarga di satu PPS di Tambunan,” katanya.
Trend pemindahan mangsa di Beaufort terus meningkat, manakala keadaan di Membakut, Tambunan dan Kinabatangan kekal.
Sementara itu menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, jumlah mangsa di Bahagian Bintulu menurun kepada 1,099 orang berbanding 1,775 orang malam tadi.
Di Bahagian Mukah, jumlah mangsa juga berkurangan kepada 605 orang berbanding 607 orang.
Penurunan turut dicatatkan di Sibu dengan 423 orang berbanding 429 orang sebelumnya, namun di Miri, jumlah mangsa kembali meningkat kepada 338 orang berbanding 271 orang pada malam tadi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








