Imigresen tumpaskan sindiket kiriman wang haram, rampas RM3.6 juta
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (Imigresen) berjaya menumpaskan satu sindiket pengiriman wang haram didalangi warga India di Klang, Selangor menerusi satu operasi khas pada 6 Februari lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi tersebut dilaksanakan susulan maklumat awam dan risikan selama dua minggu.
Dalam operasi itu, pihak Imigresen berjaya menahan menahan dalang sindiket termasuk dua lelaki warga India dan dua wanita warga Indonesia.
Siasatan awal mendapati, sebahagian daripada mereka telah menyalahgunakan pas lawatan, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan atau tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Pemeriksaan lanjut ke atas ketiga-tiga premis diserbu menemukan wang tunai berjumlah RM3.6 juta, mata wang asing, serta barang kemas dipercayai hasil aktiviti haram.
“Hasil pemeriksaan terhadap semua premis tersebut, pasukan operasi telah merampas wang tunai berjumlah RM3,627,643.00, mata wang asing berjumlah Euro 1,400.00, Yuan 10,000.00 dan barangan perhiasan yang dipercayai emas yang disyaki hasil aktiviti pengiriman wang haram.
“Modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan pengiriman wang tanpa lesen yang sah dan mensasarkan warganegara Indonesia dan India sebagai pelanggan.
“Sindiket ini menjalankan kegiatan mereka di sebalik kedai runcit dan kedai makan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Difahamkan, sindiket ini menerima RM15,000 hingga RM60,000 sehari dan boleh mencecah hingga RM110,000 pada musim perayaan yang dihantar ke Indonesia dan India.
Kesemua suspek kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih, dengan siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang berkaitan perniagaan wang dan pengubahan wang haram.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








